Petua Berniaga Rasulullah SAW
Petua Berniaga Rasulullah s.a.w.
1. Keuntungan Sasaran Kedua - Seseorang peniaga Muslim itu sewajarnya
tidak menjadikan keuntungan sebagai sasaran utama perniagaan beliau.
Sebaliknya, beliau perlu menjadikan keredhaan Allah SWT itu sebagai
punca beliau menjalankan perniagaan. Dengan menjadikan keredhaan Allah
SWT sebagai sasaran pertama perniagaan, peniaga Muslim akan mampu untuk
melakukan perkara-perkara terpuji lain di dalam perniagaan mereka dan
pastinya perniagaan akan mendapat keberkatan dan bertambah maju.
“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin, diri dan
harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang
pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh.(Itu telah menjadi)
Janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. Dan
siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka
bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah
kemenangan yang besar.” (Surah At Taubah, Ayat 111)
2. Berniaga
Mengikut Sunnah - Berniaga mengikut sunnah adalah perkara yang perlu
diikuti oleh kita semua sebagai peniaga Muslim. Rasulullah dahulu ketika
berniaga, tidak pernah menyakiti hati peniaga lain dan tidak pernah
pula berlaku kurang jujur dengan pelanggan. Hal ini diakui oleh mereka
yang pernah berurusan dengan baginda sebelum baginda diangkat menjadi
rasul lagi.
Dalam satu peristiwa, seorang peniaga bernama Saib bin
Ali Saib datang menemui Rasulullah SAW. Melihat Saib datang, Nabi
Muhammad berkata, “Mari, mari. Selamat datang saudara saya, dan rakan
niaga saya yang tidak pernah bertengkar,” kata Nabi Muhammad.
Ketika
baginda berniaga, baginda menyatakan harga modal yang diperoleh kepada
bakal pembeli. Kemudian, baginda menyatakan pula harga jual kepada bakal
pelanggan tersebut. Ini merupakan satu contoh perlakuan terpuji
Rasulullah yang perlu kita ikuti ketika hendak berniaga.
“Dari
Anas Radiallahuanhu berkata Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam :
Barangsiapa yang merasa penat kerana bekerja untuk mencari rezeki yang
halal, nescaya terampun segala dosanya”.(Riwayat Al-Imam As-Suyuti)
3. Berkata Benar dan Berlaku Jujur - “Dari Abi Sahid dari Nabi
Sallallahu Alaihi Wasallam Baginda bersabda : Peniaga yang dapat
dipercayai dan beramanah, akan bersama para Nabi, orang-orang yang dapat
dipercayai dan orang-orang yang mati syahid” (Riwayat Al-Imam
At-Tarmizi).
Dalam konteks ini, kejujuran ditekankan kerana kejujuran merupakan antara elemen terpenting dalam perniagaan.
Pada suatu hari, Nabi Muhammad berjalan-jalan di kawasan pasar bandar
Madinah. Baginda lalu di hadapan seorang peniaga yang menjual
buah-buahan yang dilonggok-longgokkan. Rasulullah memeriksa buah-buahan
itu dengan memasukkan tangannya ke dalam satu longgokan. Kemudian Nabi
Muhammad menarik tangannya keluar dan menunjukkan jarinya yang basah
kepada peniaga itu. “Apa ini saudara ?” tanya Nabi Muhammad. “Terkena
hujan, tuan,” kata peniaga itu. “Mengapa saudara tidak letakkan
buah-buahan yang basah itu di sebelah atas supaya orang dapat melihatnya
?” kata Nabi Muhammad. Kemudian baginda berkata lagi, “Barang siapa
menipu, dia bukan pengikut saya.”
4. Terima Pandangan Serta
Kritikan - Walaupun kritikan daripada pelanggan adalah seperti “pil
pahit” yang harus ditelan, setiap peniaga Muslim harus ingat bahawa yang
pahit itu tidak semestinya racun, manakala manis tidak semestinya
penawar. Banyak benar contoh yang boleh mengaitkan penawar itu dengan
sifat ‘pahit sedikit’. Kritikan yang berasas dan membina merupakan
keperluan dalam perniagaan yang kadang-kadang tidak dipandang oleh
peniaga Muslim. Mereka menganggap kritikan itu lebih membawa keburukan
kepada perniagaan mereka. Sebenarnya mereka tersilap. Dengan kritikan
yang membina itu, seorang usahawan itu bukan sahaja boleh bertahan lebih
lama, bahkan mampu untuk mengembangkan lagi perniagaan beliau ke medan
yang lebih luas.
5. Sasarkan Matlamat Lebih Tinggi - Peniaga
Muslim sewajarnya tidak berada di takuk yang sama. Sewajarnya dengan
pelancaran produk baru, target perniagaan bagi jangka waktu sederhana
serta jangka waktu panjang juga telah dilaksanakan. Ini juga bererti,
perniagaan yang diusahakan oleh usahawan muslim perlu mempunyai sistem
yang mantap. Sistem yang tersusun dan saling melengkapi antara satu sama
lain.
6. Bekerjasama Dengan Peniaga Lain - Saling tunjuk
menunjuk, tuduhan demi tuduhan dan teknik menikam dari belakang sering
menjadi pilihan sesetengah Muslim yang memasarkan produk yang sama
dengan pesaingnya. Tetapi ini sama sekali bukan etika ekonomi seorang
Muslim harus bekerja.
Persaudaraan dalam umat tidak wajar
dilupakan. Pertimbangkan untuk membentuk sebuah kesatuan usahawan Muslim
yang terdiri daripada peruncit atau pengedar serta boleh sama-sama
berkongsi pengalaman, dan belajar untuk bekerja sama. Kerjasama ini
tidak lain dan tidak bukan dapat menguntungkan pengguna Muslim itu
sendiri, dan akhirnya menguntungkan perniagaan Muslim sendiri.
7.Jangan Menjual Benda Haram - Harta yang halal membawa keberkatan dalam
hidup. Ini merupakan ungkapan yang boleh digunakan untuk menjelaskan
tip terakhir ini. Ingatlah bahawa orang yang mendapat rezeki dari sumber
yang tidak halal akan membawa akibat yang buruk seperti rezeki yang
diperolehi tiada keberkatan di dalamnya, hilang kepercayaan orang ramai
kepadanya, tidak akan diterima doanya, akan mendapat tempat yang hina di
sisi Allah s.w.t. dan dimasukkan ke dalam api neraka.
Sabda
Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Dari Khaula Al-Ansariah
Radiallahuanha dia berkata : Aku mendengar Nabi Sallallahu Alaihi
Wasallam bersabda : Bahawasanya orang yang mencampur adukkan harta Allah
dengan jalan yang tidak halal, maka mereka akan mendapat seksaan api
neraka pada hari kiamat kelak”. (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)
Dipetik dari salhazain.com
0 comments:
Post a Comment